Share Dilution berlaku apabila syarikat mengeluarkan saham baru, menyebabkan pengurangan dalam peratusan pemilikan bagi setiap saham sedia ada. Dalam erti kata lain, setiap saham yang dimiliki oleh pemegang saham sedia ada mewakili bahagian yang lebih kecil daripada jumlah keseluruhan ekuiti syarikat selepas penerbitan saham baru.
Share Dilution boleh berlaku dalam beberapa situasi, seperti penerbitan saham baru melalui private placement, rights issue kepada pemegang saham sedia ada, pelaksanaan opsyen saham (ESOS) oleh pekerja atau pengarah, atau penukaran instrumen kewangan seperti bon boleh tukar kepada saham.
Kesan Share Dilution
- Pengurangan Nilai Saham:
Apabila jumlah saham yang beredar meningkat tetapi nilai pasaran syarikat tidak berubah, nilai setiap saham secara relatifnya akan berkurang. Ini boleh memberi kesan kepada harga saham di pasaran, terutama jika pelabur melihat dilution sebagai tanda bahawa syarikat mungkin menghadapi cabaran kewangan. - Pengurangan Kawalan Pemilikan:
Dengan penambahan saham baru, peratusan pemilikan oleh setiap pemegang saham sedia ada akan berkurang. Ini boleh menjejaskan tahap kawalan yang mereka miliki ke atas syarikat, terutamanya dalam situasi di mana pengundian atau keputusan strategik memerlukan sokongan majoriti. - Pengurangan Nisbah Kewangan:
Nisbah-nisbah kewangan yang penting, seperti Hasil Per Saham (EPS), boleh terjejas akibat dilution. Jika syarikat menerbitkan saham baru tanpa peningkatan yang setara dalam pendapatan, EPS akan berkurang, yang boleh dilihat sebagai tanda negatif oleh pelabur.
Contoh Share Dilution
Sebagai contoh, sebuah syarikat bernama IzzKebaya Berhad yang mempunyai 10,000,000 saham beredar. Setiap saham berharga RM1.00, menjadikan nilai pasaran syarikat tersebut RM10,000,000. Anda antara pemegang saham utama dan memiliki 1,000,000 saham, yang mewakili 10% pemilikan dalam syarikat tersebut.
Sekarang, katakan IzzKebaya Berhad memutuskan untuk menerbitkan 2,000,000 saham baru melalui private placement untuk mengumpul modal bagi projek pengembangan. Selepas penerbitan, jumlah saham beredar akan menjadi 12,000,000.
Pengiraan Sebelum dan Selepas Dilution:
- Sebelum Dilution:
- Jumlah saham: 10,000,000
- Harga per saham: RM1.00
- Nilai pasaran: RM10,000,000
- Pemilikan anda: 1,000,000 saham (10%)
- Selepas Dilution:
- Jumlah saham: 12,000,000
- Jika nilai pasaran syarikat kekal RM10,000,000, harga per saham akan menjadi RM0.833.
- Pemilikan anda kini adalah 1,000,000 saham daripada 12,000,000 saham (8.33%).
Dalam contoh ini, walaupun nilai pasaran syarikat mungkin tidak berubah, nilai per saham telah menurun daripada RM1 kepada RM0.833 akibat dilution, dan pegangan anda dalam syarikat juga telah berkurangan daripada 10% kepada 8.33%.
Untuk belajar dengan lebih mendalam dan menyeluruh tentang analisis fundamental termasuk komponen – komponen yang terlibat (CANSLIM, P/E Ratio, EPS, NTA, ROE, ROA, FCF, EBITDA, Dividen Yield, Debt Equity Ratio, Dividen, IPO, PN17, Share Buy Back, Bonus Issue, Split Share, Consolidation, Private Placement, Right Issue, Warrant dan sebagainya) serta kesannya kepada pergerakkan harga saham, boleh klik image dibawah untuk maklumat lanjut.

Kesimpulan
Share Dilution adalah fenomena yang boleh memberi kesan besar kepada pemegang saham sedia ada, dari segi nilai pegangan dan kawalan ke atas syarikat. Walaupun penerbitan saham baru boleh menjadi langkah strategik yang diperlukan untuk pertumbuhan atau pemulihan syarikat, pelabur perlu memahami implikasi Share Dilution ini terhadap pelaburan mereka.