Sebagai seorang trader, kita perlu tahu tentang faktor yang memberikan kesan kepada gerakan harga saham. Harga saham biasanya dalam gerakan menurun, menaik dan mendatar. Cuma kita perlu fokuskan kepada gerakan menaik kerana dalam trading saham, gerakan menaik sahaja yang boleh memberikan keuntungan kepada pelaburan kita. Apabila kita membeli saham, kita telah membeli pelaburan yang boleh naik atau turun nilainya dan kadangkala nilai tidak bergerak. Sukar untuk meramalkan sama ada ia akan naik atau turun, berapa banyak naik, berapa banyak turun, dan bila akan gerak naik dan turun. Jadi, jika andai dapat fahami tentang faktor yang memberikan kesan dan mempengaruhi gerakan harga saham, sedikit sebanyak ianya boleh membantu kita membuat keputusan pelaburan. Berita tentang pendapatan syarikat contohnya boleh mempengaruhi harga saham. Ini kerana, pelabur melihat kepada kekuatan syarikat daripada aspek kewangan dan prospek jangka panjang. Jika anda masih baru dalam dunia trading saham, jemput juga baca tentang Apa Itu Pasaran Saham? dan Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kaunter IPO?
Terdapat empat (4) faktor utama yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada gerakan harga saham :
- Berita (news) dan prestasi syarikat
- Prestasi industri
- Sentimen pelabur
- Faktor ekonomi

Berita (news) dan Prestasi Syarikat
Bagaimana prestasi semasa syarikat dapat menunjukkan sama ada ia semakin berkembang atau merosot. Terdapat beberapa faktor khusus syarikat yang boleh mempengaruhi harga saham termasuk :
- siaran berita (news) tentang pendapatan dan keuntungan serta anggaran pendapatan masa hadapan. Kebiasannya laporan kewangan dikeluarkan sebanyak 4 kali iaitu 4 sukuan prestasi kewangan. Kami ada publish video yang bertajuk “Quarter Report : Apa Yang Trader Perlu Tahu”. Jemput tonton untuk menambah ilmu.
- pengumuman dividen dan bonus
- pengenalan produk baru (berita baik yang boleh menaikkan harga saham) atau penarikan balik produk (berita buruk yang boleh menjatuhkan harga saham)
- mendapat kontrak kerja baru, projek baru dengan nilai kontrak yang besar
- pemberhentian pekerja (berita yang boleh menjatuhkan harga saham)
- terlibat dalam pengambilalihan (takeover) atau penggabungan (merger)
- perubahan pengurusan syarikat
- kesilapan perakaunan atau skandal (berita yang boleh menjatuhkan harga saham)
Contoh kaunter saham Maersk jatuh sebanyak 18% kerana mengumumkan pengurangan pekerja.
Prestasi Industri / Sektorial
Kebiasaanya, harga saham syarikat dalam industri atau sektor yang sama akan bergerak seiring antara satu sama lain. Ini kerana keadaan pasaran secara amnya mempengaruhi syarikat dalam industri yang sama dengan cara yang sama. Contohnya, jika produk yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat dilaporkan tidak selamat, maka ini mungkin menjejaskan syarikat lain yang mengeluarkan produk yang sama. Tetapi kadangkala, harga saham syarikat akan mendapat manfaat daripada berita buruk untuk pesaingnya jika mereka bersaing untuk pasaran yang sama. Contohnya, jika syarikat yang membuat produk popular terpaksa menghentikan operasi, maka syarikat lain yang membuat produk serupa akan mempunyai lebih banyak permintaan. Satu lagi situasi yang boleh diambil perhatian adalah jika kaunter saham dibawah industri minyak, maka boleh merujuk kepada gerakan harga minyak dunia seperti Brent Oil dan Crude Oil. Jika kaunter dalam industri perladangan, boleh rujuk kepada gerakan dan berita tentang harga sawit. Jika kaunter dalam industri sarung tangan (glove), boleh rujuk pada berita tentang kesihatan dan harrga getah.
Cuma ada kaunter saham yang bergerak lebih awal mendahului lain – lain kaunter dalam sektor yang sama. Kaunter ini dikenali sebagai “Leader”. Begitu juga dengan kaunter yang lambat bergerak, kaunter tersebut dikenali sebagai “Laggard”.
Sentimen Pelabur
Sentimen atau keyakinan pelabur boleh menyebabkan pasaran naik atau turun. Ini juga akan mempengaruhi gerakan naik turun harga saham. Arah gerakan semasa pasaran saham boleh mempengaruhi nilai saham. Terdapat dua pasaran yang mempengaruhi sentimen pelabur iaitu :
- Bull Market : pasaran saham yang kukuh di mana harga saham meningkat, dan keyakinan pelabur semakin meningkat. Ia sering dikaitkan dengan pemulihan ekonomi atau ledakan ekonomi, serta keyakinan pelabur. Semasa bull market, dapat kita lihat banyak kaunter – kaunter saham yang menghijau dan membuat kenaikkan menaik yang kuat.
- Bear Market : pasaran yang lemah di mana harga saham jatuh, dan keyakinan pelabur semakin pudar. Ia sering berlaku apabila ekonomi mengalami kemelesetan (recession) dan pengangguran tinggi juga dengan kenaikan harga barang. Semasa bear market, dapat kita lihat banyak kaunter – kaunter saham yang kemerahan dan membuat gerakan menurun yang kuat.

Faktor Ekonomi
Beberapa faktor ekonomi boleh mempengaruhi nilai saham dan pasaran saham secara umum, termasuk:
Interest rates
Bank Negara boleh menaikkan atau menurunkan kadar faedah untuk menstabilkan atau merangsang ekonomi. Jika syarikat meminjam wang untuk mengembangkan dan menambah baik perniagaannya, kadar faedah yang lebih tinggi akan menjejaskan nilai bayaran hutangnya. Ini boleh mengurangkan keuntungan syarikat serta dividen yang dibayar kepada pemegang saham. Akibatnya, harga sahamnya mungkin akan turun kerana kerana pelabur menjadi kurang berminat untuk melabur dengan syarikat. Dan, semasa kadar faedah yang tinggi, instrument pelaburan lain yang memberikan lebih banyak faedah cenderung akan lebih menarik pelabur dan orang ramai daripada melabur saham.
Tinjauan ekonomi (Economic outlook)
Dalam keadaan ekonomi yang kelihatan sedang berkembang, harga saham mungkin akan turut meningkat naik. Pelabur akan membeli dan membuat lebih banyak pegangan saham kerana potensi untuk menjana keuntungan di masa depan atas sebab harga saham berpotensi untuk membuat kenaikkan yang lebih tinggi. Jika prospek ekonomi tidak menentu, pelabur mungkin mengurangkan pembelian / pegangan mereka atau mula menjua saham milik mereka.
Inflasi
Inflasi bermakna peningkatan harga barangan pengguna. Ini sering melembabkan jualan dan mengurangkan keuntungan kerana kurangnya kuasa membeli oleh pengguna. Harga yang lebih tinggi juga selalunya akan membawa kepada kenaikkan kadar faedah yang lebih tinggi. Sebagai contoh, Bank Negara mungkin menaikkan kadar faedah untuk memperlahankan inflasi. Perubahan ini akan cenderung untuk menurunkan harga saham. Sebaliknya untuk komoditi (commodities) seperti emas, minyak, minyak sawit, gas asli, besi dan sebagainya mungkin mendapat manfaat dengan inflasi, harga komodi mungkin meningkat. Jadi, boleh cuba cari kaunter saham yang berkait rapat dengan sektor komoditi.
Deflasi
Kejatuhan harga akan menyebabkan keuntungan yang lebih rendah kepada syarikat dan juga mengakibatkan penurunan aktiviti ekonomi. Harga saham mungkin turun, dan pelabur mungkin mula menjual saham mereka dan beralih kepada pelaburan pendapatan tetap seperti bon. Kadar faedah mungkin diturunkan untuk menggalakkan orang ramai membuat pinjaman dengan lebih banyak. Matlamatnya ialah meningkatkan perbelanjaan dan merancakkan kembali aktiviti ekonomi.
Kejutan Ekonomi dan Politik
Perubahan yang berlaku di seluruh dunia boleh menjejaskan ekonomi dan harga saham. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak dunia boleh menyebabkan jualan yang lebih rendah, keuntungan yang lebih rendah dan harga saham yang lebih rendah. Tindakan keganasan dan peperangan juga boleh menyebabkan kemerosotan dalam aktiviti ekonomi dan kejatuhan harga saham. Ketidakstabilan politik dalam negara juga akan menjejakkan pasaran saham. Di Malaysia, banyak kali kita dapat lihat berlakunya ketidakstabilan politik dan index KLCI memang sentiasa dalam keadaan bearish sejak kejadian perebutan kuasa politik dalam negara. Ini kerana, ketidakstabilan politik akan menyebabkan ketakutan dan keraguan pelabur luar untuk datang melabur ke Malaysia. Ini akan mengurangkan kecairan dalam pasaran saham sekaligus mengurangkan aktiviti dagangan.
Perubahan dalam Dasar Ekonomi
Jika kerajaan baru dibentuk (biasanya selepas pilihanraya umum) mengambilalih pentadbiran negara, kerajan baru ini mungkin akan membuat dasar yang baru. Kadangkala perubahan ini boleh dilihat sebagai sesuatu baik untuk perniagaan, dan kadangkala tidak. Ia mungkin membawa kepada perubahan dalam inflasi dan kadar faedah, yang seterusnya boleh menjejaskan harga saham.
Nilai Semasa Matawang Ringgit Malaysia
Banyak syarikat yang menjual produk kepada pembeli di negara lain. Jika nilai Ringgit Malaysia meningkat, pelanggan mereka perlu berbelanja lebih untuk membeli barangan yang dijual. Ini boleh menurunkan jualan, yang seterusnya boleh menyebabkan harga saham lebih rendah. Apabila nilai Ringgit Malaysia jatuh, produk jualan syarikat akan menjadi lebih murah kepada pembeli dari luar. Ini akan meningkat pendapatan jualan dan menyebabkan harga saham meningkat. Berbeza dengan syarikat yang menggunakan sumber bahan mentah dari negara luar, kelemahan dan pengukuhan nilai Ringgit akan memberikan kesan kepada kos operasi dan pendapatan syarikat. Ini kerana, jika nilai Ringgit melemah, syarikat terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bahan mentah. Sekaligus akan mengurangkan pendapatan dan keuntungan syarikat kerana terpaksa menanggung kos tukaran wang asing. Begitu juga sebaliknya jika Ringgit mengukuh.
Semoga bermanfaat dan jemput kongsikan kepada rakan trader yang lain ya.
PENAFIAN (DISCLAIMER) untuk semua perkongsian dan penulisan di website ini termasuk perkongsian / penulisan ini : https://www.tekniktrade.com/penafian-disclaimer/